Pos berkaitan:
Tarikh: 27 April Mac 2011. (pembetulan pada 06 April 2011).
Lokasi: Melaka.
Berucaplah selamat pagi pada hari kedua atas jasa sinaran mentari yang lembut dari celah langsir. Tidak dilupai ucapan terima kasih kepada krew restoran hotel sini kerana memulakan perjalanan hari ini dengan hidangan sarapan set.
Sarapan ringan teramat sesuai sebelum kami membebankan perut dengan nikmat resepi tradisional tempatan nanti. Tambahan pula sarapan yang dihidangkan lagi menceriakan pagi yang nyaman dengan kata nikmat "percuma".
Kami segera menuju ke destinasi seterusnya untuk mengisi perut yang masih kuat bergeroncang. Selain juadah Portugis, Melaka juga terkenal dengan masakan nyonyanya. Restoran nyonya yang sering diiklan dalam internet hanyalah di depan hidung kami, maka sasaran ditetapkan di Donald dan Lily.
Ini adalah kali pertama kami menjamu masakan nyonya. Ayam pongteh di atas dimasak dengan kacang hitam dan cendawan yang paling saya benci. Namun rasanya tidaklah sejijik yang saya sangkakan. Sebaliknya, saya agak gemar dengan hidangan ini sekiranya minyak dikurangkan dan kentang diperbanyak.
Jika dibandingkan dengan ayam pongteh, rojak di restoran ini tidak dapat memuaskan deria rasa saya. Bahan dan rasanya tidak setimpal dengan harga yang ditawarkan. Pada pendapat saya, saiz kari asam ikan agak berbaloi tetapi rasanya agak sama dengan kari ikan yang didapati di gerai mamak. Nasib baik kari asamnya tidak pedas dan amat membuka selera.
Sekali lagi kami berjalan-jalan sekitar Jalan Hang Jebat di bawah matahari yang terik untuk membantu penghadaman sambil mencari cenderamata. Di depan San Shu Gong terdapat gerai menjual kuih bahulu berintikan kaya pandan. Tiada komen terhadapnya.
Selepas penat berjemur di tengah jalan tanpa hala tujuan, kami berhenti di sebuat kedai yang kononnya terkenal dengan popia berminyak babi. Tuan punya kedai amat bangga dengan pencapaiannya sehinggakan banyak keratan surat khabar ditampal di atas dinding.
Bukan sahaja popianya siap dibalut berbelas minit sebelum kami membuat pesanan, ia juga habis basah direndam minyak. Tetapi jika dilihat dari sudut lain, rasa daun ketumbar dalam popia masih boleh tahan. Teringin sekali saya mencuba popia di tempat lain.
Walaupun perut masih lagi boncit, kami meneruskan perjalanan dengan aktiviti seterusnya. Berdekatan Jalan Hang Jebat juga, terdapat sebuah restoran nyonya yang tersembunyi di belakang lorong. Pengat durian merupakan snek utama yang dilaung-laungkan dalam internet tetapi pelayan tidak mengenalinya. Aneh sekali. Adakah kami memasuki kedai cetak rompak?
Pada mulanya saya sangka inti nyonya zhang adalah daging tuna tetapi teksturnya adalah daging babi rupa-rupanya. Ini adalah kali pertama saya merasai nyonya zhang, maka saya tidak tahu rasa nyonya zhang yang asli dan sedap. Sekiranya ia dihidangkan panas mungkin rasanya boleh dipertingkatkan.
Goreng-gorengan lima rempah di atas serupa dengan masakan ibu saya. Ibu saya akan menambah water chestnut dan bawang untuk menambah kemanisan daging.
Tidak tahan dengan cuaca di Melaka, kami sekali lagi mengunjungi gerai cendol pada hari semalam. Bezanya hari ini, daripada mencuba cendol yang sama, kami membeli sagu gula Melaka untuk mengubati tekak.
Berbeza daripada imaginasi saya, sagu gula Melakanya tidak dihidang bersama ais. Ia terlalu manis jika dimakan sendirian. Mungkin kerana kami meminta manisan ini dibungkus maka ais tidak diberi?
Sesampainya perut kami ke tahap maksima, kami balik ke hotel untuk berehat dan Sailormoon menjadi hiburan saya sehingga masa makan petang. Tidak lupa juga sesi bermandi-manda.
Pada kebiasaan, manisan dinikmati selepas hidangan utama. Malam ini, kami menentang norma dengan menghirup susu madu panas untuk merangsang rasa kek lapisan telur. Tidak banyak pilihan semasa kami tiba, namun kami bernasib baik terdapat beberapa potong kek yang belum habis dijual. Kemanisannya berada di tahap yang rendah memfokuskan aroma telur dan krim.
Makanan di Nadeje bukan calang-calang. Dengan perut yang tidak terisi, kami ketandusan idea untuk makanan malam sehinggalah kami terjumpa sebuah restoran ala barat sekitar Dataran Pahlawan.
Sekali lagi, restoran sebegini terlalu lazim di KL. Kentang goreng yang digoreng hingga hangus, kedai yang tidak teratur dan anak lipas berkeliaran adalah fenomena yang biasa dilihat. Entah-entah tuan punya restoran berasal dari KL?
Sebelum kami menamatkan perjalanan pada hari ini, kami berjalan-jalan di Mahkota Plaza dan sekitarnya sebagai senaman. Berbandingkan sekarang, Melaka pada waktu malam 5 tahun dahulu teramat sunyi. Dulu-dulu, berbaring di atas jalan raya selama 10 minit bukanlah sebarang masalah. Kini, kami menghadapi cabaran untuk melintasi jalan raya yang sibuk dengan kenderaan pada pukul 11 malam.
Demikianlah laporan saya pada malam tersebut. Selamat membaca.
p/s: Sekiranya anda menghadapi masalah membaca Bahasa Kebangsaan, sila klik butang penterjemahan di sebelah bawah kiri blog.
[Jino] - A man's not a man unless he knows how to shoot