Pos berkaitan:
Bahagian 1, Bahagian 2, Bahagian 3 (akan datang)
Tarikh: 26 April Mac 2011. (pembetulan pada 06 April 2011).
Lokasi: Melaka.
Memandangkan Melaka (pernah) terkenal sebagai pusat penyebaran Bahasa Melayu pada satu ketika dahulu, dengan segala hormatnya akan saya bercerita dalam Bahasa Kebangsaan pada hari yang mulia ini.
Pada pendapat saya, Melaka zaman kini bukanlah terkenal dengan tapak bersejarah sejak zaman penjajahan mahupun cerita wira Dol Said mengalahkan askar-askar British. Bersyukurlah pada resepi tradisional tempatan, Melaka berjaya menjadi tumpuan utama pelancong dari merata tempat termasuklah pelancong domestik. Dengan kata lain, blog hari ini memaparkan makanan di Melaka sebagai tema. St Paul's Fort? Makam Hang Tuah? Kota A'Farmosa? Perigi Hang Li Po? Saya tidak berminat langsung melainkan kawasan tersebut menjual makanan yang sedap.
___________________________________________________________________________________
Bas yang dijadualkan 8 pagi bertolak 30 minit lewat. Namun, seluruh perjalanan hanya memerlukan 90 minit ke Melaka Sentral, kemudian 15 minit ke Dataran Pahlawan dan 15 minit lagi ke hotel. Aldy hanya membenarkan penginapan selepas pukul 2, maka kami meninggalkan bagasi di hotel dan memulakan perjalanan kami dengan segera.
Destinasi pertama kami ialah nasi ayam yang kononnya terkenal dengan bebola nasi yang lembut dan wangi. Ganjil sekali, tidak seperti khabar angin, kami hanya perlu menunggu 5 minit sementara menantikan tempat duduk. Mungkin kerana kami bernasib baik. Selain bebola nasi yang padat, saya suka kulit ayamnya yang licin dan sos cili yang membuka selera.
Walaupun hidangannya tidak menarik dan persekitaran yang kurang bersih, masih ramai yang rela beratur selama 30 minit di bawah matahari terik. Jelas sekali kami amat bertuah kerana hanya berdiri selama 5 minit. Gambar di atas diambil semasa kami meninggalkan premis dengan perut yang kenyang.
Seterusnya kami menghilangkan dahaga dengan cendol terkenal di sebuah kedai sekitar Jalan Hang Jebat. Kedai ini dihiasi barangan antik dan poster lama yang berhabuk dan agak susah untuk mencari tempat duduk kerana tempat yang terhad.
Kedai ini tidak kelihatan cantik pada dasar luar, tetapi keunikan cendol di sini tidak boleh dipertikaikan. Terdapat banyak cendol dijual di Melaka, tetapi di sini sajalah dapat saya mencari erti 'cendol'. Tidak susah untuk membuat perbandingan. Apa yang diperlukan ialah lidah.
Selain cendol, laksa juga merupakan tumpuan utama kedai tersebut. Walaupun harganya melambung berbandingkan tahun lalu, hatiku yang pilu pada mulanya terobat dengan rasa santan yang kuat dan rempah yang menawan.
Selepas menikmati makanan yang berat, adalah wajar senaman ringan diiringi untuk membantu penghadaman sebagai persediaan untuk sajian seterusnya. Dengan ini kami mengambil kesempatan tersedia untuk mengunjungi beberapa destinasi bersejarah yang berdekatan sehingga sampainya masa chek masuk hotel.
Walaupun harganya tersangat mahal, kebersihan dan kemudahan hotel masih dianggap memuaskan. Tambahan pula, hotel yang terletak di lokasi yang agak strategik di bandar raya Melaka memudahkan perjalanan kami.
Sesampainya bilik, kami beralih dari senaman ringan ke aksi lasak dan kemudian berehat seketika. Adalah tidak sopan untuk bercerita lanjut secara terbuka, tetapi sekiranya anda berminat untuk mengikuti kisah aksi bolehlah MSN saya.
Dengan berbekalkan kaki yang berotot, kami meredah sejauh 2.5 km dengan harapan satay celup belum dibanjiri orang. Pada pukul 5 petang, kami merupakan tetamu kelima dan terpaksa menunggu 30 minit sebelum tibanya giliran kami.
Secara am, restoran ini menghidangkan pelbagai bahan stimbot dengan kuah satay sebagai sup. Udang sebesar tapak tangan adalah fokus utama restoran ini. Kami diingati oleh bos untuk memastikan udang tersebut dimasak lebih kurang 8 minit sebelum disaji. Setahu saya, udang ini hanya terhad 1 untuk setiap orang.
Kuahnya terlalu manis dan akan jelak jika dimakan berlebihan. Secara jujurnya, tiada apa keistimewaan selain daripada udang besarnya yang rangup. Namun ramai yang rela beratur dengan penuh kesabaran seperti dalam gambar di atas. Agaknya berapa lama mereka perlu menunggu?
Selepas matahari terbenam, kami bercadang mengunjungi pasar malam Jalan Hang Jebat. Selain gerai cenderamata, kami tidak dihampakan dengan juadah di gerai malam mingguan. Perut kami terlalu penuh untuk mencuba kesemua makanan di sana.
Maka kami hanya boleh mencuba makanan yang tidak pernah dicuba. Contohnya seperti spring roll yang berintikan durian segar. Sekiranya harga dan minyak pada kulitnya boleh dikurangkan, semestinya akan saya syorkan pada kawan-kawan pada masa hadapan. Tidak jauh dari sana terdapat sebuah gerai menjual waffle hotdog. Nasihat saya ialah jangan sekali-kali membazir duit anda pada hasil gagalnya.
Sozai teringin makan susyi pada malam itu dan dengan keberatan saya terpaksa membeli susyi yang bukan main mahal. Rasanya tidaklah seteruk yang saya jangkakan, tetapi sebaik sahaja masuk mulut lidah saya boleh memberitahu ini adalah susyi dari pasar malam.
Demi menghilangkan perut yang boncit, kami beriadah sekitar hotel sebelum menamatkan perjalanan pada hari pertama. Sekiranya wifi di hotel berfungsi, kami akan berjaga hingga larut malam dan bermain Facebook. Tanpa disedari, Melaka juga kelihatan cantik pada waktu malam jika bau dari Sungai Melaka diabaikan.
Demikianlah perjalanan kami pada hari pertama berakhir dengan perut yang kenyang dan dompet yang parah. Jangan lupa mengikuti bahagian seterusnya. Selamat membaca.
p/s: Sekiranya anda menghadapi masalah membaca Bahasa Kebangsaan, sila klik butang penterjemahan di sebelah bawah kiri blog.
[Jino] - A man's not a man unless he knows how to shoot